Anggota Parlimen Bukit Gantang Dari PAS Meninggal Dunia

Monday, February 9, 2009

IPOH, 9 Feb (Bernama) -- Anggota Parlimen Bukit Gantang daripada PAS, Roslan Shaharum, meninggal dunia pagi ini dipercayai kerana serangan jantung, menurut abangnya Ahmad Najmi.

Beliau berkata Roslan, yang pada mulanya sedang menunggu keretanya dicuci di sebuah stesen minyak di Batu Gajah, tiba-tiba dilaporkan merasa tidak sihat dan meminjam sebuah basikal milik orang lain untuk ke farmasi berdekatan.

Sebaik mengayuh basikal itu beberapa meter, beliau dikatakan terjatuh lalu dibawa ke Hospital Batu Gajah sebelum disahkan meninggal dunia, kata Ahmad Najmi kepada Bernama di sini.

Roslan, 50, yang merupakan pengerusi Yayasan Perak di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, meninggalkan seorang isteri Sofiah Husein dan 10 anak yang berusia antara sembilan dan 23 tahun.

Lulusan ijazah sarjana muda Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta sarjana Sains Pembangunan dan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia, beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara serta Open University Malaysia.

Sementara itu, Sofiah, 50, yang ditemui di Hospital Batu Gajah, berkata jenazah suaminya dijangka dikebumikan pada 6 petang ini di kampung Allahyarham di Changkat Larang, Lahat, dekat Batu Gajah.

Pensyarah Institut Perguruan Ipoh itu berkata sebulan lepas, suaminya pernah pengsan semasa berada di Taiwan dan setelah menjalani pemeriksaan, doktor mendapati jantung Allahyarham besar dan kurang oksigen.

"Dia patut pergi check-up tetapi arwah pergi ke Gaza, Palestin dan hingga hari ini tak buat apa-apa pemeriksaan kesihatan," katanya kepada pemberita.

Anak perempuan Roslan, Norfatimah Zahra, 21, berkata bapanya keluar rumah untuk mencuci kereta pada 10 pagi ini.

Ketika ditemui pemberita di rumah mayat hospital berkenaan, Norfatimah Zahra berkata beliau mendapat maklumat bapanya jatuh pengsan setelah menunggang basikal untuk ke farmasi dan dibawa ke Hospital Batu Gajah sejam kemudian.

Norfatimah Zahra berkata pada hujung minggu baru-baru ini, mereka sekeluarga bercuti ke Cameron Highlands selama dua hari dan pulang petang semalam.

"Ayah sihat dan mungkin kerana kurang rehat selepas bercuti dan sekembalinya dari Cameron Highlands petang semalam, dia dipanggil untuk menghadiri majlis di kediaman rasmi Menteri Besar Perak," katanya.

Beliau berkata bapanya hanya tiba di rumah pada 1.30 pagi ini.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP