BENCI (PAS Yang Sebenar - Episod 2)

Tuesday, October 6, 2009


"Anak kandung jangan menangis, orang menangis lekas rabun, orang penggamang mati jatuh, orang pemarah tanggal iman, pehiba hati lekas tua" Prof.Dr.Hamka.

Tindakan UMNO/BN yang berani di Bagan Pinang menimbulkan kemarahan pada para pendokong PAS. Kemarahan yang membuak-buak sebenarnya sudah lama berlubuk dihati mereka natijah tarbiyah kebencian yang terus-terusan disimbah subur oleh para pemimpin dan ulama'-ulama' politik dalam parti PAS.

Maka tidak hairanlah apabila amarah itu tertonjol pada tingkah laku pendokong PAS pada hari penamaan calon. Ini bukan baru, ini sudah sinonim dengan parti PAS sejak azali. Pada setiap pilihanraya kita akan tonton perangai buruk mereka ini. Inilah sebenarnya wajah parti PAS. Mereka terlalu benci dengan UMNO terutamanya, hingga amal Islam dan segala sifat dan sikap yang dituntut dalam Islam, diketepikan malahan bagaikan tidak ada pada mereka. Itu pun disebalik tarbiyah yang disuburkan bahawa orang lain mengamalkan "agama suku, politik suku".

Kita tahu bahawa Allah berpesan bahawa sesiapa yang mengata buruk kepada orang lain, sedangkan apa yang dikatakan itu tidak benar, perkara yang dikatakan itu akan berbalik kepada orang yang mengata itu. Jadi apa yang kita lihat pada tingkah-laku pendokong dan pimpinan PAS adalah sesuatu yang memang mahu dipertontonkan oleh Allah SWT sedang mereka sendiri tidak menyedarinya. Itulah musibah yang dilalui mereka semoga mereka insaf dan bertaubat.

Selain itu, kita akan lihat bahawa PAS suka membuat tohmahan dan tafsiran ayat-ayat Allah SWT mengikut kesesuaian yang ada hubungkait dengan memburukkan saingan politik mereka bagi memberi keuntungan kepada mereka. Mereka tidak peduli dengan kesucian Islam. Mereka mengamalkan "agama suku, politik suku" (agama asing,politik asing). Mana mungkin dipisah agama dari amal kehidupan? Nah lihat sahaja kelakuan PAS dalam berpolitik!

Semasa kempen pilihanraya 1964, PAS mengatakan bahawa orang-orang UMNO jadi kafir kerana berkongsi kuasa memerintah negara dengan parti-parti yang ahlinya bukan Islam seperti MCA dan MIC.

Pada 1973 apabila PAS dipelawa masuk PERIKATAN selepas 13 Mei, 1969, apa Nik Aziz kata? Dia berkata bahawa "Menyertai Barisan Nasional adalah satu nikmat". Ketika itu dia juga memetik fatwa yang dikeluarkan oleh Dewan Ulama' PAS, bahawa "Mengenai Kerajaan Campuran, adalah harus dan ditarjih oleh Kongres".

Kemudian pada 1978, selepas PAS terkeluar dari Barisan Nasional, PAS menuduh pula Kerajaan Malaysia memisahkan agama dan politik dan terkeluar dari landasan Islam.

Pada 7hb April 1983 Hj.Hadi terus mendakwa bekerjasama dengan parti-parti bukan Islam dalam kerajaan Barisan Nasional adalah dilarang Islam. Ianya ditarbiyahkan kepada para pendokong PAS melalui "Amanat Haji Hadi" dan dakyah disebarkan keseluruh pelusok terhadap UMNO dengan berbagai kata-kata tuduh dan fitnah.

Kini, pada 2008 apabila PAS sudah tersedar bahawa dia tidak kemana-mana dengan penipuannya,kalah dan terpinggir disetiap PRU dan PRK, maka dia menukar haluan. Dengan selamba dan tanpa sedar bahawa dia pernah mengeluarkan fatwa. Kita ditontonkan dengan kehendak Allah, dia bersekongkol dan berpakat dengan parti bukan Islam yang terang-terang menentang Islam. Dia berpakat-pakat dengan DAP yang kekal dengan pendirian bahawa jika "Hendakkan Islam, langkah Mayat kami dahulu". DAP berkali-kali secara terbuka mengesahkan bahawa PAS "bersetuju meletakkan perjuangan Islam ketepi, demi menjayakan pakatan untuk hal-hal yang lain, kecuali perjuangan Islam". DAP tetap berpendirian bahawa perjuangan Islam yang dilaung-laungkan oleh PAS dalam menidakkan UMNO, adalah sesuatu yang mustahil dan DAP akan keluar dari pakatan itu, sebaik sahaja PAS mahu menegakkan Islam seperti yang dilaungkannya sebelum ini.

PAS juga ditontonkan kepada kita, sanggup bersekongkol dan menerima seorang Ketua sebagai Tuan Penasihat bagi pakatan dengan DAP itu. Ketua itu ialah seorang yang selalu dihina dan dikeji moralnya dan tingkah-lakunya sewaktu beliau itu menjadi pemimpin besar didalam UMNO. Ketua itu adalah Anwar Ibrahim dengan parti pendokongnya PKR. Dalam berbuih-buih penceramah PAS mengata,mengutuk dan menghina orang lain semuanya tidak Islam dan tidak bermoral, dia sekarang duduk dibawah telunjuk orang yang dikatakan itu. Anwar Ibrahim ini sudah jelas seorang bekas banduan yang telah didakwa, dibicara dan dihukum bersalah atas kesalahan "salahguna kuasa". Orang ini telah pecah amanah kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu dengan tindakannya menyalahguna kuasa,didapati bersalah dan telah dihukum penjara. Kini dia adalah bekas banduan atas kesalahan yang amat dikutuk hina oleh PAS, tetapi PAS mendaulatkan dia sebagai Tuan Penasihat dan Ketua Umum kepada pakatan haram mereka. Selain kesalahan yang dia telah dihukum itu, bekas banduan ini juga sekarang sedang mempertahankan dirinya atas tuduhan melakukan perkara yang sama dengan satu lagi pertuduhan yang beliau dahulu pernah juga dibicarakan. Tabiat yang sama, dia dituduh mengulanginya. Dia sekarang berstatus "Orang Kena Tuduh" kesalahan meliwat. Liwat adalah perbuatan terkutuk dalam Islam. Tidakkah adil bagi kita meletakkan tanda soal terhadap orang ini selagi dia tidak selesai melalui bicara dimahkamah untuk diadili mengikut keadilan dunia? Apakah orang yang diselubungi persoalan moral ini layak untuk diketuakan oleh PAS, yang sentiasa mempersoalkan moral, keimanan dan ketakwaan musuhnya? PAS selain mengamalkan "agama suku, politik suku" juga satu puak yang pekat sikap "assobiyah"nya. Sikap yang sering didakyahkannya sebagai menjadi amalan UMNO. Sesungguhnya Allah itu Maha Menunjukkan!

Di Bagan Pinang, PAS telah terlebih dahulu menjalankan propaganda mereka untuk mencari kelebihan bagi berhadapan dengan BN dikubu kuatnya. Selama ini, pilihanraya kecil yang diadakan dan yang sengaja diadakan adalah dikawasan-kawasan yang sedia dihuni oleh wakil pakatan. Disana UMNO/BN jadi pihak yang ingin menakluk. Kali ini mereka pula yang ingin menakluk kawasan yang sedia di wakili oleh UMNO/BN. Kempen itu tidak menjadi apabila UMNO/BN dengan beraninya telah meletakkan calon yang amat ditakuti oleh puak penakluk ini. UMNO/BN berani melawan propaganda itu, dan ianya telah membuatkan PAS dan kawanan pakatannya jadi gelabah. UMNO/BN sudah berubah dari sikap "defensive" sejak lepas PRU 12 kepada "offensive". Apakah UMNO/BN sudah benar-benar kembali seperti dulu? Ini yang ditakuti oleh PAS yang sedang berseronok dengan perasaan kuatnya sejak PRU 12.

Mereka goyah, dan tidak hairanlah mereka tidak mampu berhujah selain dari cuba memutarbelitkan isu untuk membuatkan orang keliru dan kemudian dalam kekeliruan itu, mereka membentuk persepsi dan terus menangguk. Kini mereka mati langkah kerana putar belit mereka bak umpan yang tidak lagi mudah mengena. Orang sudah saksikan kerapuhan dan kesesatan yang jelas dipertontonkan. Persepsi benar dan kuat mereka adalah wayang yang palsu. Sedikit sebanyak, keberanian UMNO/BN membantu melawan dan menelanjangkan kepalsuan mereka.Orang juga sudah banyak melihat dan bijak menilai.

Benci dicampur gelabah dicampur marah adalah gambaran yang jelas tertonton pada semua apabila pendokong-pendokong PAS kali ini tidak berupaya menahan nafsu amarah dan benci sehingga tertonjol kelaku tidak senonoh yang jauh menyimpang dari sifat pejuang Islam. Kecewa dengan diri sendiri, mereka hilang kawalan lalu menjerit, melolong bagai dirasuk setan hingga ada yang hilang akal, menerjah kehadapan, menonjol-nonjolkan duit kertas kemuka pendokong UMNO/BN. Ada yang lupa tuhan, lupa diri, lupa semua, menerjah dan melepaskan penumbuk geram kepada orang yang mendokong lawannya. Ini politik ke atau ini amal Islam? Bagi PAS mereka akan kata "ini politik". Jadi Allah ingin kita lihat bagaimana "agama suku, politik suku" itu sebenarnya kelakuan siapa. Kelakuan UMNO ke atau kelakuan PAS? Mudah sahaja bagi awam memberi jawapannya. Tidak perlu diputar belitkan untuk menegak benang yang basah!

"Segala sesuatu itu ada buruk dan baiknya. Sekiranya kita melihat alam atau manusia dengan mata kebencian,tidak akan terdapat dalam alam barang yang tidak tercela. Orang yang memandang alam atau manusia dengan cinta akan diakuinya bahawa manusia atau alam seluruhnya adalah barang yang dijadikan Tuhan, yang ada cela dan kekurangannya. Kalau ada celanya dia tidak akan memperdulikan cela, atau kalau pun dia pedulikannya, bukan dihina dan direndahkannya, tetapi diperbaikinya sekadar tenaganya, dengan tidak melupakan bahawa dirinya sendiri pun penuh cela." Prof Dr.Hamka.

Dato' Seri Mohd Najib betul apabila berkata bahawa di Bagan Pinang waktu ini, bukan memilih untuk menubuh kerajaan, tetapi memilih wakil yang boleh mewakili rakyat Bagan Pinang dalam keperluan setempat mereka dengan berkesan. Ini yang takut sangat PAS dengan Tan Sri Isa Samad hingga mereka ditelan hawa nafsu, hilang kawalan dek benci yang membuku natijah tarbiyah songsang untuk kepentingan politik yang mengenepikan ajaran dan amal Islam.Mereka terdesak mencari isu untuk dikelirukan.

Kelakuan pendokong PAS menumbuk Dato' Aziz dan menunjukkan tingkah-laku tidak bersopan terhadap Dato Ismail Sabri, anggota pimpinan kerajaan, adalah bukan tabiat mungkar yang berlaku hanya di Bagan Pinang, tetapi sudah selalu.UMNO/BN seperti biasa, tetap sabar, sopan dan akur dengan sifat yang diajar dan dituntut oleh Islam. Bagi UMNO politik adalah satu wasilah untuk kepentingan Islam tetapi PAS menggunakan Islam untuk kepentingan partinya dan politiknya, maka tidak hairanlah kelakuan yang terkutuk itu jadi amalan dan tidak hairan jugalah Islam boleh diketepikan demi untuk mendahulukan DAP dan PKR.

sumber: http://penpusaka.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP