Nizar Adalah Menteri Besar Perak Yang Sah

Monday, May 11, 2009

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Tinggi di sini Isnin. ini.

Dengan keputusan itu, persoalan mengenai siapakah Menteri Besar yang sah -- Nizar atau Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir -- yang menyebabkan negeri itu dilanda krisis politik bagi tempoh lebih 100 hari, akhirnya terjawab.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar.

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini Menteri Besar boleh disingkirkan," kata Abdul Aziz dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang.

Pada 13 Feb, Nizar, 52, memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Nizar, yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac tahun lepas apabila pakatan pembangkang memenangi 31 kerusi pada pilihan raya umum ke-12, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan Menteri Besar.

Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang Menteri Besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.

Pemecatan Menteri Besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP