5,000 penduduk Selangor tiada kad pengenalan

Monday, July 6, 2009

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diminta menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi menyelesaikan masalah kira-kira 5,000 rakyat Malaysia di negeri ini yang masih tidak mempunyai sijil lahir dan kad pengenalan.


Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, daripada 5,000 nama yang diperoleh pihaknya, 75 peratus adalah keturunan India, Cina (15 peratus) dan Melayu (10 peratus).


Beliau yang juga bekas Menteri Besar berkata, pihaknya juga mendapati sebahagian besar daripada jumlah yang tersenarai itu adalah kanak-kanak.

Menurutnya, semua senarai nama tersebut diperolehi oleh sukarelawan Sekretariat Barisan Nasional (BN) di Selangor pada 28 Januari tahun lalu yang ketika itu mengumpul nama dan data peribadi rakyat yang masih tidak mempunyai sijil lahir dan kad pengenalan.

''Kesemua mereka ini kebanyakannya merupakan rakyat Malaysia yang berasal dari latar belakang keluarga nelayan dan pekerja estet.

''Mereka ini tiada sijil lahir dan kad pengenalan kerana ketika itu ibu bapa mereka mungkin tiada kesedaran untuk mendapatkan dokumen pengenalan penting itu,'' katanya kepada pemberita di pejabatnya di Glenmarie di sini hari ini.

Masalah itu katanya, hanya disedari ketika mereka mula bersekolah iaitu apabila tidak dapat mengambil peperiksaan, sementara yang sudah dewasa pula sukar mendapat pekerjaan kerana tiada dokumen pengenalan diri.

''Kita khuatir apabila tidak mendapat pekerjaan secara sah, mereka ini akan terlibat dengan kegiatan jenayah semata-mata untuk mencari wang menyara hidup," ujarnya.

Sehubungan itu kata Mohamad Khir, beliau amat berharap pihak JPN dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dapat membantu menyelesaikan segera masalah ini yang dipercayai berlaku bukan sahaja di Selangor malah di seluruh negara.

Katanya, beliau telah dua kali menyuarakan masalah tersebut semasa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan ketika itu Datuk Seri Syed Hamid Albar merupakan Menteri Dalam Negeri tetapi perkara tersebut masih belum dapat diselesaikan.

''Semasa Sekretariat BN Selangor dapat mengumpul 5,000 nama itu, kesemua mereka diminta mengisi borang dan lebih 200 borang yang mempunyai dokumen diperlukan telah diserahkan kepada JPN.

''Bagaimanapun hanya 30 yang disiasat dan 15 sahaja berjaya mendapat sijil lahir dan kad pengenalan.

''Saya sedih kerana ada di antara keluarga mereka yang telah melahirkan generasi ketiga tetapi masih tiada sijil lahir serta kad pengenalan dan tidak dapat merasai keistimewaan sebagai warganegara," kata beliau.

Tambahnya, bagi membantu mereka yang tidak mempunyai sijil lahir dan kad pengenalan, Sekretariat BN akan membuka pejabat di Seksyen 7 di sini.

''Kita akan membantu mereka daripada segi mengisi borang dan memenuhi kriteria yang diperlukan.

''Kita juga akan membantu JPN mendapatkan dokumen seperti akuan bersumpah, laporan polis dan sebagainya dengan harapan nasib mereka ini dapat segera dibela," katanya.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP