Exco Perak membariskan empat muka baru, dua muka lama

Tuesday, February 10, 2009


SULTAN Perak Sultan Azlan Shah (duduk, tengah) dan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah (duduk tiga, kiri) bergambar bersama Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang baru (berdiri, dari kiri) Dr Mah Hang Soon, Hamidah Osman, Datuk Ramly Zahari, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Zainol Fadzi Paharudin selepas majlis penyampaian watikah pelantikan di Istana Iskandarian hari ini. Turut sama Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir (duduk dua, kiri). -fotoBERNAMA

Enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang baru, yang terdiri dari dua muka lama dan empat muka baru, hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini pagi ini.
Mereka terdiri dari dua bekas Exco, Datuk Ramly Zahari (ADUN Manong) dan Datuk Saarani Mohamad (ADUN Kota Tampan).
Empat muka baru pula terdiri daripada Ketua Pemuda MCA Perak, Dr. Mah Hang Soon (ADUN Chenderiang), Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Padzi Paharudin (ADUN Sungai Manik), Hamidah Osman (ADUN Sungai Rapat) dan Mohd Zahir Abdul Khalid (ADUN Kamunting).
Kesemua mereka menandatangani watikah pelantikan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani.
Jumlah exco yang diumumkan hari ini adalah jauh lebih kecil berbanding 10 orang sebelum ini.
Ramly, 52, merupakan Exco yang paling berpengalaman yang telah memegang jawatan itu pada 1995 sehinggalah kerajaan negeri Barisan Nasional dikalahkan pada pilihan raya umum Mac 2008.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri itu adalah lulusan Universiti Malaya dalam bidang "South East Studies" dan pernah bertugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Majlis Daerah Manjung dan juga sebagai Penolong Pegawai Daerah bagi Taiping dan juga Pengkalan Hulu.
Beliau bertanding kali pertama pada pilihan raya umum 1995 bagi kerusi DUN Manong dan telah dilantik sebagai Exco Pertanian negeri dan selepas itu memegang pelbagai jawatan Exco termasuk Pembangunan Industri, Penerangan, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Sementara itu, Saarani, yang pernah memegang jawatan Exco Penerangan dan Pembangunan Luar Bandar, merupakan Ketua Umno Lenggong dan juga Anggota Jawatankuasa Perhubungan Umno Perak.
Bagi muka baru, Ketua Pemuda MCA Dr Mah Hang Soon, 44, adalah seorang pakar kardio lulusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Malaya dan sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd Zahir, 41, pula merupakan bekas pengurus korporat Universiti Teknologi Petronas yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari University of Wales dan Sarjana Muda Undang-undang Universiti of Leeds, England.
Beliau juga pernah bertugas sebagai pegawai perancang korporat Mara Holding.
Hamidah, 48, pula merupakan satusatunya exco wanita adalah Ketua Wanita Umno Gopeng dan berkelulusan Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). BERNAMA


BARISAN EXCO PERAK
1) Hamidah Osman (ADUN Sungai Rapat)
2) Datuk Ramly Zahari (ADUN Manong)
3) Dr. Mah Hang Soon (ADUN Chenderiang)
4) Datuk Saarani Mohamad (ADUN Kota Tampan)
5) Mohd Zahir Abdul Khalid (ADUN Kamunting)
6) Zainol Fadzi Paharudin (ADUN Sungai Manik)

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP