PERKAUMAN DI MALAYSIA – DI MANA MULANYA?

Monday, June 22, 2009

Sesiapa yang lahir pada lewat 60-an dan awal 70-an pasti masih dapat mengingati bahawa suatu ketika dahulu, PAS adalah sinonim dengan perkauman. Sebagai produk sekolah Convent yang mana peratusan kaum hampir sama banyak, perkauman adalah sesuatu yang asing bagi saya. Separuh dari rakan sekelas saya berbangsa Cina dan kami berkawan tanpa sedikit pun rasa kekok malah kini kami masih berhubung dan bergurau senda di dalam Facebook.

Convent pada ketika itu masih dihuni oleh ramai Nun yang menjadi pengajar matapelajaran Sivik. Setiap Ahad (Ahad adalah hari persekolahan di Kedah), rakan-rakan beragama Kristian akan terlebih dahulu menghadiri perhimpunan di ’church’ di tengah-tengah sekolah. Di waktu matapelajaran agama pula, yang beragama Islam akan terus tinggal di kelas, yang Kristian akan ke kelas lain untuk belajar dengan ’Nun’ dan yang bukan beragama Islam atau Kristian akan ke perpustakaan atau terus duduk di kelas jika mereka mahu. Segalanya indah dan tenang dan tiada siapa yang meragui sesiapa walau apa bangsa dan agamanya di era ini.

Convent adalah antara sekolah yang agak lambat menerima ’Islamisasi Anwar Ibrahim’ yang ingin menyaingi pengaruh PAS di kalangan masyarakat Melayu. Di waktu murid-murid Melayu sekolah lain mula berbaju kurung dan bertudung, Convent masih kekal dengan ’skirt’ dan baju kurung apatah lagi tudung amatlah janggal bagi kami.

Anwar dan PAS pada ketika itu cuba bersaing bagi menunjukkan Islam siapa lebih baik dan lebih benar. Bagi menunjukkan bahawa Islam mereka lebih tulin, PAS memilih untuk mengambil langkah ektrem. PAS berkali-kali menegaskan bahawa orang Islam tidak boleh berkawan dengan bukan Islam atau kafir sepertimana UMNO dan sesiapa yang berbuat begitu akan menjadi kafir. Orang-orang PAS mengajar anak mereka membenci bukan Islam. Pernah saya terdengar dan terserempak dengan orang PAS yang merujuk kepada ’Santa Klaus’ di pusat membeli belah sebagai orang gila di depan semua pengunjung dan tergesa-gesa melarang anaknya mengambil gula-gula yang dihulurkan oleh ’Santa Klaus’ tersebut seolah-olah ia haram sama sekali. Beberapa pengunjung menggelengkan kepala melihat gelagat orang PAS tersebut.

Dalam meniti usia remaja, saya menyedari bahawa ada di antara rakan saya yang mana ibubapanya mula berjinak-jinak dengan PAS. Rakan-rakan ini mula menjadi agak asing dari kumpulan kami. Mereka menjadi gusar apabila berkunjung ke rumah rakan bukan Melayu. Mereka tidak akan menyentuh minuman yang dihidang oleh ibu rakan bukan Melayu tersebut. Tanpa berselindung, mereka menunjuk jijik terhadap rakan bukan melayu. Mereka bersikap seolah-olah bukan melayu itu kotor atau haram sama sekali untuk dijadikan rakan. Dalam minda remaja yang masih buta politik, perlahan-lahan saya mula belajar membezakan rakan-rakan ini dari rakan-rakan yang lain dan menggelar mereka ’Orang PAS’.

’Orang PAS’ tidak akan bergaul dengan rakan Cina di dalam kelas. ’Orang PAS’ suka mengasingkan diri dari semua orang dan suka memandang orang lain dengan penilaian seperti ’sesat’ atau ’kafir’ mengikut apa yang diajar oleh ibubapa mereka yang sebenarnya hanya mengikut apa yang diajar oleh pemimpin PAS. Orang PAS tidak suka mengambil bahagian dalam drama, tarian atau taridra yang saya arah di sekolah.

Kewujudan orang-orang PAS di sekolah memang merimaskan. Mereka memperkenalkan satu aliran pemikiran jumud dengan mengasingkan kaum-kaum di sekolah. Sedikit sebanyak mereka mengganggu dunia persekolahan yang sebelumnya begitu indah dan tenang. Ketika itu juga, lahirlah Ustazah dan Ustaz atau guru PAS yang gemar membangkitkan isu-isu remeh serta suka mengumpat dan menyindir rakan bukan Islam dan juga murid-murid Islam yang bergaul dengan mereka. Mereka juga suka menyindir pakaian dan rambut kami dengan kata-kata kesat yang tidak pernah digunakan di sekolah tersebut sebelum itu. Sekolah dicemari dengan wajah Ustaz, Ustazah dan guru-guru PAS yang penuh dengan kebencian dan prejudis terhadap orang lain. PAS perlahan-lahan berjaya merasuki masyarakat agar membenci sesama sendiri dan berpecah belah.

Masih tidak puas hati, PAS ingin lagi mengasingkan Melayu dengan bukan Melayu untuk menjadi juara Islam. Maka tumbuhlah sekolah-sekolah agama tajaan PAS atau cenderung ke arah PAS untuk merealisasikan usaha ini. Alasan PAS ketika itu ialah kerana wujudnya sekolah Cina dan Tamil maka wajarlah juga diadakan sekolah ’Melayu’.

Kemudiannya, atas ketidakmampuan dan kejahilan PAS dalam pengurusan, kebajikan guru-guru agama dan murid-murid di sekolah-sekolah agama ini menjadi kelam kabut dan tidak terjaga. Kerajaan tidak dapat pula menutup sekolah-sekolah ini kerana bimbang dituduh ’menindas agama Islam’ oleh melayu berpemikiran PAS yang semakin ramai. Maka, kerajaan mengambil langkah mewujudkan sekolah agama kerajaan untuk memenuhi permintaan ’melayu berfikiran PAS’ ini agar tidak ada bangsa kita yang menjadi mangsa.

Namun, entah kenapa, hari ini – yakni hanya beberapa tahun kebelakangan ini, UMNO pula yang dituduh sebagai memulakan sifat perkauman.

Semalam, saya menerima email dari seorang doktor yang menuduh UMNO yang memulakan sifat perkauman kerana mewujudkan sekolah-sekolah agama kerajaan. UMNO dituduh perkauman kerana sering mengadakan majlis agama disekolah sehingga menakutkan bukan Melayu. Hairan, majlis agama kristian di sekolah setiap Ahad tidak pula mereka takut.

Sekolah-sekolah agama dan majlis-majlis agama di sekolah diadakan kerana adanya pengaruh dan mentaliti PAS di kalangan ramai guru dan ibubapa Melayu sejak lewat tahun 70an dan awal 80an. Jika pun Islamisasi pakaian dan program-program di sekolah dimulakan oleh kerajaan, ia tidak lain tidak bukan dimulakan oleh peneraju PKR iaitu Anwar Ibrahim dalam usahanya untuk menyaingi ’keislaman’ PAS bagi meraih sokongan ’Melayu berpemikiran PAS’ kepadanya (bukan UMNO atau kerajaan).

Hakikatnya, perkauman di kalangan masyarakat Melayu itu dimulakan oleh PAS dan Anwar Ibrahim, bukan UMNO. Kini hakikat ini dimanipulasi oleh pembangkang untuk melaga-lagakan Melayu serta menambahkan kebencian kaum bukan Melayu terhadap UMNO dan kerajaan.

Kita faham DAP memanipulasi hakikat ini untuk kepentingan bangsa Cina. Kita juga faham bahawa PKR pula memanipulasinya untuk kepentingan Anwar Ibrahim. Tetapi kita tidak dapat memahami apabila PAS turut bermain permainan yang sama. Satu-satunya alasan bagi PAS ialah samada mereka terlalu dungu untuk membaca permainan DAP dan PKR atau mereka sememangnya gila kuasa di tahap maksima.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP